Thursday, October 06, 2016

Teksi,Uber,Grab car

Salam untuk semua.Salam Maal Hijrah 1438.

Semua rakyat Malaysia inginkan setiap perjalanan yang ingin dilakukan berlaku dengan cepat mengikut perancangan tanpa banyak halangan dengan kos yang efektif dan menyenangkan.
Ini secara dasarnya dan inilah yang sepatutnya mengikut kehendak setiap orang.Kerenah seboleh-bolehnya hanya pada tahap paling minimum sahaja.

Begitulah yang berlaku pada sistem pengangkutan awam teksi pada masa kini.Kini teksi bukan lagi menjadi pilihan utama pengguna di Malaysia. Orang ramai kini lebih berkenan memilih pengangkutan sistem tempahan online iaitu Uber dan Grab car.Fenomena ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah banyak negara lain juga menggunakan sistem sebegini.
Secara umumnya ini adalah saingan terbesar kepada pemandu teksi yang sudah sedia ada sebelum ini.Lebih-lebih lagi perkhidmatan ini telah boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang memiliki lesen memandu dan memiliki kereta sendiri dengan syarat berdaftar dengan pihak Uber mahupun Grab car.
Memang ianya sangat mudah dan boleh memberikan peluang kerja dan peluang menambah pendapatan yang agak lumayan.
Bagaimana pula dengan pemandu teksi yang sedia ada? Memang tidak dinafikan pemandu teksi berhak menjadi marah kerana pendapatan mereka tergugat sama sekali.
Untuk pengetahuan semua,memang bukan mudah untuk mendapatkan lesen perkhidmatan awam memandu teksi dan limosin sejak dari dulu.Lebih-lebih untuk mendapatkan permit teksi dan membeli teksi.Jika difikirkan,memang kesian pada pemandu teksi yang sudah lama.
Mereka perlu melalui pelbagai langkah dan ujian untuk mendapatkan lesen perkhidmatan awam.Mereka wajib mendapatkan kad pemandu untuk memandu teksi di kementerian yang berkaitan.Mereka perlu membayar pelabagai urusan iaitu urusan pemeriksaan setiap 6 bulan di Puspakom,permit teksi,kad pemandu dan perlu menggunakan meter tambang.Memang banyak urusan....Kesian...Kemudian kena berebut penumpang di sesetengah kawasan.Kadang-kadang nak bayar duit bayar sewa teksi harian pun tak mampu.Itu pemerhatian saya sepanjang mengendalikan urusan lesen memandu pada tahun 2000 hingga 2010.

Saya pernah memandu teksi secara suka-suka untuk mendapatkan pengalaman selepas berjaya memiliki lesen teksi.Saya memandu di beberapa kawasan di sekitar Petaling Jaya,Kuala Lumpur dan Shah Alam.Ianya berlaku selama hampir 5 bulan. 
Saya dapat rasakan memang bukan mudah mencari duit dengan memandu teksi. Itu dulu..tiada banyak saingan.Jika ada pun hanya teksi haram sahaja. 
Tapi kini pemandu teksi terpaksa bersaing hebat dengan pemandu Uber dan Grab car.Memang ianya sesuatu persaingan yang berat sebelah jika dibandingkan betapa mudahnya pemandu Uber dan Grab car mendapat kebenaran mengambil penumpang seperti masa kini.

Bagi saya,sistem sebegii memang memudahkan pengguan tetapi sepatutnya sebelum ianya diberi kelulusan untuk beroperasi seperti pemandu teksi,pihak berkuasa perlu ada inisiatif dan tanggugjawap penuh bagi menyerapkan atau menyamaratakan serta menaiktaraf sistem teksi sedia ada sebelum ini kepada sistem yang menyamai sistem Uber dan Grab car. Ini adalah TANGGUNGJAWAB pihak berkuasa kerana mana mungkin syarikat dan pemandu teksi sedia ada dapat menyediakan sistem canggih seperti Uber dan Grab car kerana majoriti golongan ini adalah kurang pelajaran dan sudah  berusia melebihi 45 tahun.Kurang pengetahuan seperti pemandu muda.
Memang secara dasarnya,saya dapat melihat disinilah kelemahan yang paling ketara.Golongan pemandu teksi orang lama  terjejas teruk dan bagaimana mereka hendak menanggung kehidupan keluarga lebih-lebih lagi di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Memang terdapat kesilapan dari sikap dan kurangnya mutu perkhidmatan serta tambang pemandu teksi sedia ada.Tetapi tidak adakah usaha yang sebaik-baiknya untuk menyelesaikan kemelut ini?

Akan disambung...




Wednesday, February 24, 2016

Keunikan kerjaya seorang Pengajar Memandu Kereta

Assalamualaikum  w.b.t... untuk pembaca blog ini.

Kali ini saya ingin berkongsi sedikit info berkenaan kerjaya seorang Pengajar atau Jurulatih Memandu Kereta di Malaysia.

Terdapat keunikan dari segi tahap keberanian fizikal,ketahanan mental dan emosi pada setiap orang yang menceburi kerjaya ini.Saya berpendapat inilah satu-satunya kerjaya yang memerlukan ketahanan mental dan emosi yang sangat tinggi kerana mengajar orang yang belum boleh memandu menggunakan kereta pada tahap situasi yang tidak mampu dijangka dan mengawal pelbagai latarbelakang pelajar yang berlainan tahap emosi mereka.Sangat-sangat mencabar!

Lebih-lebih lagi pada peringkat awal bagi pelajar baru yang mula memegang stereng kereta,gear dan menggunakan pedal minyak,clutch dan brek.Bertatih-tatih di litar belajar dan seterusnya mula bertatih di jalan raya.
Mengikut pengalaman saya sebelum ini,ramai pelajar mengharapkan dan bergantung hampir sepenuh keselamatan dan kebolehupayaan mereka untuk mahir memandu dengan secepatnya kepada tenaga pengajar memandu.Mereka hanya memiliki kebolehupayaan teori sahaja pada awalnya.

Manakala Pengajar Memandu pula WAJIB memastikan mereka membuat praktikal dengan betul.Tidak boleh salah dan silap sama sekali.Jika salah dan tak betul sangat BERBAHAYA.
Begitu beratnya tanggungjawap untuk memastikan pelajar membuat dengan betul.
Ia tidak semudah seorang guru atau pensyarah atau sesiapa sahaja yang bidang mereka mengajar.
Jika chef mengajar dan pelajarnya memasak tidak menepati cara dan citarasa biasanya pelajar kena marah.
Pada tahap ini,tekanan emosi,tekanan darah dan degupan jantung chef masih lagi boleh dikawal.
Tetapi bayangkanlah bagaimana seorang pengajar memandu mampu mengawal kesemua ini apabila pelajar memandu melakukan kesalahan berulang-ulang kali sehingga pada tahap yang mencemaskan.
Bagi saya,seorang pengajar memandu hanya mampu mengajar tidak lebih dari 3 orang pelajar memandu kereta sehari bagi tempoh belajar 2 jam setiap orang.Mereka perlu mempunyai hari cuti rehat yang sepatutnya.
Dari segi kos,ia akan memerlukan perbelanjaan yang tinggi jika tahap kawalan dan penjagaan kesihatan pengajar memandu itu sendiri diabaikan.Kenapa? Ramai ke yang meninggal dunia? Cuba survey...

Kesimpulannya,kerjaya Pengajar Memandu memerlukan tahap kesabaran emosi yang sangat tinggi dan kebolehupayaan mengajar yang sangat fleksibel yang tertakluk kepada siapa pelajar yang sedang diajar. Dalam masa yang sama kebolehupayaan mereka untuk memujuk pelajar yang berhadapan masalah takut.
Bagi saya,inilah salah satu kerjaya yang PALING unik dan mencabar dalam dunia.
 


  

Monday, December 14, 2015

lama tak kemaskini!

Assalamualaikum..w.b. t

Semoga anda semua sihat dan dirahmati Allah s.w.t
Sudah lama sangat saya tidak mengemaskini blog ini.Namun saya masih mengikuti blog saya ini.
Untuk info semua,saya sudah tidak lagi mengendalikan latihan belajar memandu serta kursus di institut memandu.Namun saya masih lagi mampu memberi latihan dan tunjuk ajar secara suka rela jika diperlukan.

Kini saya sudah terlibat dalam dunia bisnes peruncitan dan kini sedang mengendalikan kedai saya sendiri di Port Dickson,Negeri Sembilan.Sudah hampir melepasi tahun ke 4 saya menceburi bisnes ini.
Tahun ke 4 adalah tahun penentuan hidup atau matinya sesebuah bisnes.Jika jiwa kuat dan usaha lagi kuat insyaAllah pasti boleh berjaya walaupun sesekali kena merangkak-rangkak. Oyeke?? Itu saya punya teori saja! 
Alhamdulillah bisnes ini lebih memberi kepuasan dan keserasian untuk diri saya.
Alhamdulillah juga,kini saya telah menjadi isteri kepada seorang ustaz. Hehe... Hidup lebih bermakna..Syukur...syukur.. 
Kini sedang dalam perancangan untuk menambah pembukaan kedai di sekitar Port Dickson dan Seremban.InsyaAllah..

Saya doakan semua pembaca blog dan pelajar yang sedang belajar memandu akan mendapat manfaat dan ilmu dari artikel saya yang tidak seberapa ini.Belajar rajin-rajin dan usaha dengan kuat.Pastikan anda boleh lulus ujian undang-undang dan ujian memandu!
Motivasikan diri dan hati anda untuk mendapat lesen memandu dengan cepat dan berjaya!

Saturday, February 02, 2013

Fikirkan Boleh!

Fikirkan Boleh

Jika kau fikirkan kau boleh
Kau hampir boleh melakukan
Jika kau fikirkan ragu-ragu
Usahamu tidak menentu

Jika kau fikirkan kekalahan
Kau hampiri kegagalan
Jika kau fikirkan kemenangan
Kau hampiri kejayaan

Engkaulah apa kau fikirkan
Terkandung dalam pemikiran
Kau fikir boleh melakukan
Fikirkan boleh

Percaya apa kau lakukan
Tabah apa kau usahakan
Bertindak atas kemampuan
Engkau boleh


Jangan mudah mengalah dan berputus asa walaupun kita gagal.Buat dengan sebaik-baiknya.

Wednesday, September 14, 2011

Penyakit malas digantikan dengan bertindak pantas

Penyakit malas memang susah nak diubat.Lebih-lebih lagi kalau seseorang tu sudah dilanda pelbagai masalah dalam diri.Biasanya yang kita tengok,kalau kepala dah berserabut dengan masalah,otak menjadi begitu lembap untuk membuat kerja dan berfikir.


Apa yang penuh dalam otak hanyalah pemikiran negatif .Biasanya lah kan...Jika berfikir pun kebanyakannya perkara yang menjurus kepada yang negatif dan tindakan yang tidak popular/terburu-buru.
Disinilah kita perlu belajar dan didedahkan teknik-teknik motivasi serta kawalan emosi.Apabila dah faham mengawal emosi maka mudahlah kita mendapat idea-idea positif.
Bila dah ada idea positif dan diri kita semakin positif maka mudah jugaklah kita bertindak pantas untuk menjadikan diri kita ini seorang yang hebat dan cemerlang!
Secara mudah penyakit malas yang ada dalam diri kita semakin hilang dan pudar.Gantikan malas kepada berfikir dan bertindak pantas!

Monday, September 12, 2011

Bekerja makan gaji atau berniaga sendiri.

Yang mana lebih sesuai dan selesa untuk anda?


Jika ingin menghargai masa untuk berehat yang lebih.
Masa lapang yang cukup dihujung minggu.
Pastinya menerima gaji setiap hujung bulan.
Mudah buat pinjaman walaupun cukup bulan baki gaji tinggal sikit je..

Maka anda lebih sesuai bekerja dengan KERAJAAN.

Jika ingin gaji yang lebih besar.
Anda sanggup menghadapi risiko diberhentikan kerja.
Anda bersedia bekerja lebih kuat dan tak menentu masa.
Terima gaji setiap hujung bulan.
Tahan kena marah dan bambuu..

Maka anda lebih sesuai bekerja dengan mana-mana syarikat,kilang atau lebih senang SWASTA.

Tetapi jika,

Tak keberatan bekerja 7 hari seminggu,berbelas-belas jam atau lebih sehari.
Ada ketikanya tiada masa langsung bersama keluarga.
Sanggup pulak menghadapi risiko tak memperolehi apa-apa pendapatan langsung untuk beberapa hari/minggu/bulan.
Tak keberatan menanggung hutang.( tapi bukan ALONG ye)..
Tak kisah menghadapi kerenah pembantu,pekerja,pelanggan dan sesiapa saja.
Berani menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran serta tahu mengatasi segala macam masalah yang datang.
Memiliki sikap bertanggungjawap.disiplin diri yang kuat,bijak merancang dan melaksana.
Memiliki ketahanan diri mental dan fizikal,IQ dan EQ yang tinggi serta skil berkomunikasi yang bagus.

Maka orang macam ni sememangnya LAYAK untuk bekerja sendiri sebagai seorang ahli perniagaan/usahawan yang cemerlang!

Anda layak yang mana satu???..

Sunday, September 11, 2011

Kepantasan amat penting dalam kepala seorang pemilik bisnes.

Bisnes takkan berlaku dan menghasilkan keuntungan jika tidak ada berlaku sebarang urusan jual beli.
Mengapa terdapat bisnes yang tidak menjadi seperti yang dirancang? Tidak mendatangkan keuntungan malah duit modal habis begitu saja.Ibarat berniaga buluh kasap.Untung tiada modal lesap!

Terlalu ramai yang berbisnes dan melalui keadaan seperti ini kan.Banyak duit modal yang telah dilaburkan tetapi hasilnya sangat mengecewakan.Apa yang berlaku sebenarnya? Perancangan dan produk tidak cukup bagus? Lokasi bisnes tidak strategik? Ada orang lain dengki kat kita?Partner tak cukup bagus dan tak dapat memotivasikan kita?
Walau apapun yang dirasakan,pokok dan asasnya ialah terletak pada diri si pemilik bisnes itu sendiri.Bisnes takkan berlaku tanpa ada urusan jual  beli.Jualbeli takkan berlaku jika pembeli tidak tahu produk kita dan kebagusannya.
Kita tidak cukup mahir membuat promosi dan jualan.Khidmat jualan dan selepas jualan tidak menarik minat pembeli.Kita tidak tahu adab melayan bakal pembeli.Riak muka,cara dan nada suara tidak bersifat seorang penjual.Kita berlagak besar, tidak pandai menepati kehendak pembeli dan tidak menepati janji kepada pembeli.Sedangkan adanya pembeli adalah urusan jualbeli.Ada jualbeli barulah ada duit masuk.Itupun jika tahu mengira harga untung dan rugi.

Senang cerita,bukan setakat buka bisnes saja tetapi kepantasan perancangan dan tindakan serta adab berjualbeli mesti ada dalam kepala si pemilik bisnes itu.Jika tidak ada,lebih baik lah simpan saja duit modal tu kat dalam ASB atau beli seketul emas dan pandai-pandailah nak rolling duitnya.

Sunday, September 04, 2011

Berbezakah diantara pemilik lesen memandu yang sah dan mereka yang tanpa lesen memandu

Secara jujur saya tidak berapa pasti bilangan rakyat Malaysia yang mencecah umur 16 tahun ke atas.Apa yang saya pasti memang terlalu ramai tanpa mengira keturunan dan jantina. Saya sedang terfikir berapa ramai mereka ini yang sedang mendaftar untuk memiliki lesen di seluruh Malaysia. Sekurang-kurangnya mereka layak untuk proses memiliki lesen kelas B2 kelas tidak melebihi 250cc (motosikal yang berkuasa rendah atau kapcai..) atau B kelas melebihi 250cc ( motosikal berkuasa tinggi).

 Apa bezanya pengguna kenderaan yang memiliki lesen yang sah berbanding pengguna kenderaan tanpa lesen? Jawapannya lebih kepada ilmu pengetahuan,pendedahan dan undang-undang apa yang boleh dan apa yang tak boleh ketika menggunakan kenderaan di jalanraya.Ini boleh diperolehi melalui kursus,latihan dan ujian yang dihadiri. Namun terdapat juga mereka yang mempertikaikan kewajaran prosedur-prosedur yang wajib dilalui ini. Bagi saya sesiapa yang telah melaluinya boleh mengerti akan kewajarannnya. Saya pasti terdapat jawapan yang agak emosional bagi mereka yang belum memiliki lesen memandu yang sah. Part ni tak dapek den nak tolong yo..Hohooo..Anda akan merasainya sendiri jika anda belajar untuk melalui semua prosedurnya.

Nasihat saya usah mudah terpengaruh dengan cerita pengalaman mereka yang tidak menyukai prosedur ini. Apa yang boleh saya katakan ternyata amat berbeza ilmu dan pendedahan diantara orang yang telah memiliki lesen yang sah berbanding orang yang belum lagi memiliki lesen memandu yang sah. Saya cabar anda untuk melaluinya dengan hati yang terbuka untuk memiliki lesen memandu yang sah.Terlalu banyak perbezaannya dari segi psikologi dan keyakinan diri! Kalaulah anda tahu....

 Anda tak percaya? Fikirkan dan cubalah saranan saya ini.Kumpul duit cepat-cepat dan daftar dimana-mana sekolah atau institut memandu yang terdekat dengan anda.

Wednesday, August 31, 2011

Kenapa anda masih tak pandai-pandai belajar memandu kereta.






Ini satu masalah dan persoalan yang selalu bermain di minda pelajar yang baru belajar memandu.Susahnya kan.Tapi betul ke ianya memang susah??
Apa yang menyebabkan anda rasa susah sangat nak memandu kereta.Samada anda tak faham atau memang lambat menerima apa yang diajar.Atau memang pengajar anda memang tak pandai mengajar anda??? hohoo.kenyataan n soalan nak maut ni untuk saya!

Apapun jika anda berada dalam situasi ini,tolong bagitau.saya cuba bagi jalan keluar yang mudah dan menenangkan anda di ruangan komen.

peace no war!

Sunday, September 27, 2009

Kemalangan jalanraya di bulan syawal

Selamat hari raya aidil fitri untuk semua pembaca.

KEMALANGAN,KECEDERAAN DAN KEMATIAN DI JALANRAYA DI BULAN PERAYAAN.

Ini adalah tradisi dan bukan lagi sesuatu yang menghairankan.Berita yang sudah menjadi lumrah dan tidak lagi menjadi kejutan kepada semua orang.
Semua orang banyak mengatakan penguatkuasaan,sikap dan tanggungjawap.Bagi saya sebagai pengajar memandu,memang benar itu adalah sebahagian dari faktornya.
Namun yang lebih penting dan faktor yang lebih hampir adalah tekanan emosi dan kawalan emosi pemandu yang berada di atas jalanraya pada ketika mula hendak memasuki,berada di dalam kenderaan masing-masing.
Kemalangan dan kematian tidak boleh diduga dan tidak boleh diramal bila ia boleh berlaku dan sempat atau tidak kita hendak mengelak dari berlaku.

Emosi pemandu yang memandu kenderaan adalah berubah-ubah bergantung pada apa,siapa dan keadaan yang berada di sekitarnya pada ketika itu selain dari kemahiran dirinya memandu.Sikap diri yang baik boleh berubah sebaliknya dalam sekelip mata ketika memandu walau sebaik manapun sikapnya sebelum ini.

Mengapa saya lebih mengatakan emosi sebagai faktor terhampir? Cuba-cubalah fikir,renung dan perhatikan.Yang lebih afdhal ialah buat eksperimen terhadap diri sendiri atau orang yang terhampir dengan kita ketika memandu kenderaan dan lihatlah kebenaran pendapat saya ini.

Saya akan sambung lagi bila berkesempatan.
Salam aidil fitri.Semoga saya dan anda masih dapat membaca artikel yang seterusnya.
Maaf zahir dan batin.




Saturday, August 16, 2008

Kenapa anda digagalkan di simpang tiga ketika ujian memandu

Kebanyakan calon yang diuji ketika hari ujian memandu JPJ akan mempertikaikan kenapa mereka digagalkan ketika berada di simpang tiga walaupun mendakwa sudah biasa memandu kereta sebelum ini.
Untuk menjawab pertanyaan dan masalah mereka ini,saya boleh berikan tiga alasan penting tentang peraturan ketika berada di simpang tiga samada anda baru belajar memandu atau sudah biasa memandu.

Kesalahan yang biasa dilakukan ialah 

1. Tidak atau lambat memberi lampu tanda arah kanan atau kiri.
2. Tidak berhenti di simpang tiga dan jika berhenti pun badan kereta anda berada di atas garisan atau sudah melepasi garisan berhenti.
3. Anda berhenti sebelum garisan tetapi tidak menarik brek tangan dan tidak membebaskan gear.

Ini adalah kesalahan yang paling kerap dilakukan oleh calon yang sedang diuji ketika ujian bahagian 3 ujian memandu di jalanraya.
Kebiasaannya mereka sudah tahu ketika belajar dan selalu dilatih untuk mengikuti peraturan tetapi ada masih berdegil dan seolah-olah tidak penting.
Akibatnya diri sendiri juga yang rugi apabila terpaksa melakukan ujian ulangan.

Oleh itu patuhilah peraturan dan tidak perlu terburu-buru di jalanraya ketika hari ujian memandu.Semoga anda berlatih lebih dan sentiasa beri tumpuan serta fokus yang penuh ketika berlatih.



Sunday, August 10, 2008

TIPS MUDAH UNTUK PELAJAR YANG BARU NAK MEMANDU KERETA

Tips ini untuk pemandu yang baru mendapat lesen L dan baru hendak belajar memandu kereta.

5 perkara yang paling utama yang perlu difahami dan diberi perhatian.Anda tidak perlu terlalu takut dan panik.

1. Anda perlu tahu dan mengenali alat kawalan dalam kereta.Contohnya seperti bagaimana hendak laraskan tempat duduk dengan selesa,stereng,pedal clutch,pedal brek kaki,pedal minyak,gear,brek tangan,cermin.

2. Kemudian mula mengetahui cara hendak hidupkan engin dan matikan engin.

3. Anda perlu tahu bagaimana hendak menggerakkan kereta.Guna gear apa dan hendak tekan pedal apa.

4. Anda perlu tahu bagaimana hendak perlahankan kereta dan bagaimana hendak berhentikan kereta dengan betul dan selamat.

5. Anda perlu tahu bagaimana hendak mengawal stereng jika hendak bergerak lurus,hendak membelok ke kanan atau ke kiri.


Bila anda sudah faham tentang perkara utama ini akan lebih memudahkan anda serta menjadikan anda lebih tenang dan releks ketika belajar tanpa stress.

Jadi,anda perlu belajar secara teori dan fahamkan dalam minda anda serta praktikkan ketika belajar.InsyaAllah anda lebih mudah belajar.

Selamat belajar!

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Thursday, July 31, 2008

Benarkah kita boleh menilai diri dan emosi kita ketika memandu?

Semua orang mempunyai emosi yang berbeza setiap hari.Emosi akan mempengaruhi cara kita berfikir,berkata dan bertindak.
Emosi ini paling mudah dapat dilihat kepada semua pemandu yang berada di atas jalanraya.Kita dengan mudah dapat mengenal secara pantas bagaimanakah sebenarnya cara seseorang itu mengawal emosi.Lebih-lebih lagi ketika memandu di kawasan Lembah kelang dan kawasan bandar-bandar besar.
Kebiasaannya jalanraya di kawasan ini adalah sesak dan akan mengambil masa kita.Hati dan perasaan ingin cepat bergerak dan sampai ke destinasi pasti menjadi matlamat semua pemandu.Kalau boleh ingin memecut seperti roket lebih-lebih lagi kepada orang yang ingin ke tempat kerja.
Namun apakah yang akan kita rasa sekiranya lalulintas sesak dan tidak bergerak.Terperangkap di sana sini.'Jem' melekat! Tiba-tiba ada pula yang mencelah-celah di sebelah kita dan cuba bersikap tidak sopan kepada kita.Dengan mengguna isyarat tangan dan mulut lagi.Apakah tindakan spontan kita?Hati kita mungkin akan mudah membara dan hampir terbakar kan?Walaupun perkara itu hanya remeh dan tidaklah terlalu merbahaya seperti motor terlanggar cermin sisi kereta kita.
Boleh tak kita bersabar dan betulkan semula cermin sisi itu tanpa mengeluarkan apa-apa 'kata sumpahan'?Mengapa ye hati kita mudah melenting bila memandu?Sedangkan perkara yang berlaku hanyalah sekelumit sahaja.Mengapa hati kita mudah rapuh untuk marah ketika di atas jalanraya?Tidak perlu beradu kekuatan fizikal dan suara untuk menjatuhkan hukum ketika hati sedang membara.Sukar sangatkah untuk berkata dengan lembut dan tidak mengaibkan sesiapa serta bersikap pemaaf?
Ini bermakna kita belum cukup kuat mendidik hati dan akal kita walau dimana pun kita berada dan dalam apa jua situasi tanpa mengira kita ini seorang yang kurang berpelajaran mahupun kita ini seorang yang berpelajaran tinggi.
Pelajaran sahaja belum cukup untuk menjamin emosi kita kuat dan berdaya tahan.Oleh itu renungi dan awasilah serta pertingkatkanlah lagi penggunaan akal dan perasaan kita di tahap yang maksimum bersesuaian dengan tuntutan kehidupan sebagai khalifah Allah s.w.t.
InsyaAllah jalanraya di Malaysia semakin selamat dan aman dengan bilangan pemandu yang mempunyai tahap kesabaran tinggi dan bijak mengendali emosi masing-masing. 
Ini hanya sedikit dari pendapat saya melalui pemerhatian dan pengalaman yang dilalui setiap hari menggunakan jalanraya.Sentiasa berfikir dan terfikir.

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Wednesday, July 23, 2008

Bagaimana hendak buat pusingan tiga penjuru?

Pusingan tiga penjuru adalah olahgerak terakhir dalam ujian bahagian 2 untuk ujian memandu kereta selepas ujian mendaki bukit dan ujian meletak kereta secara masuk belok.

Berhati-hati untuk olahgerak terakhir ini untuk memastikan anda boleh lulus sepenuhnya untuk ujian bahagian 2.Ini adalah kerana jika anda kurang berhati-hati kemungkinan anda gagal dan akan menyebabkan anda gagal keseluruhan ujian bahagian 2.
Risikonya ialah anda perlu membuat ujian ulangan bahagian 2 dan anda wajib menjalani semula ujian mendaki bukit dan ujian meletak kereta secara masuk belok walaupun sebelum ini anda sudahpun lulus kedua-dua oleahgerak ini.

Bagaimana caranya? Mudah sahaja.

Selepas keluar dari petak meletak kereta secara masuk belok ( side parking),anda terus menuju ke dalam petak tiga penjuru ini.

1. Pandu kereta anda bergerak lurus di sebelah kiri mengikut anak panah masuk dan sebaik cermin sisi sebelah kiri sama lurus dengan tiang no.2 di sebelah kiri anda,pusing stereng habis ke kanan dengan pantas.

2. Berhenti di hadapan tiang sebelah kanan anda dan pastikan kereta anda tidak melepasi garisan kuning dan tidak melanggar atau menyentuh tiang itu.

3. Pastikan kereta anda tidak bergerak ketika ini.Pusing stereng habis ke kiri dan masukkan gear undur.Barulah anda boleh undur terus ke belakang dan tidak boleh menyentuh atau melanggar tiang belakang serta belakang badan kereta tidak boleh terkeluar dari garisan kuning.
Panduannya mudah semasa mengundur kereta anda tengok anak panah masuk dan sebaik anak panah itu lurus kearah anda,terus berhenti.Bermakna kereta anda tidak akan terlanggar tiang belakang.Cuba praktik dan perhatikan.

4. Pastikan kereta anda tidak bergerak ketika ini.Pusing stereng habis ke kanan dan masukkan gear satu.Terus bergerak keluar mengikut anak panah keluar dan letak semula kereta dimana anda bermula.


Untuk info:
Pastikan hanya tiga pergerakan sahaja dibenarkan ketika masuk,berada dalam petak dan keluar dari petak.
Anda tidak dibenarkan berhenti-henti di pertengahan di setiap pergerakan.
Jika engin kereta anda mati tiba-tiba semasa anda berhenti,pastikan tekan brek dan bebaskan gear barulah hidupkan semula engin kereta anda.
Masa yang dibenarkan dari mula anda masuk hingga keluar dari petak ini tidak melebihi 3 minit sahaja.

Selamat berlatih dan semoga berjaya melakukan ujian ini dengan terbaik.

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Thursday, July 17, 2008

tips mudah untuk ujian 'side parking' - kereta

Anda hanya dibenarkan untuk membuat ujian side parking atau meletak kereta secara masuk belok hanya selepas anda lulus ujian mendaki bukit.
Bagaimana tips mudah untuk lulus ujian side parking?
Mudah sahaja.

1. Pandu kereta bergerak lurus ke hadapan dan sebaik-baiknya jarak cermin sisi kiri dengan tiang pertama lebih kurang 3 kaki.Tidak terlalu dekat dan tidak pula terlalu jauh dari tiang.

2. Toleh ke kiri arah cermin tingkap tiga segi di bahagian penumpang kiri.
Berhentikan kereta sebaik anda nampak tiang pertama berada di tengah-tengah cermin itu.

3. Pusing stereng ke kiri habis dan masukkan gear undur.
Mula undur perlahan-lahan dan lihat melalui cermin sisi sebelah kanan.
Kira tiang yang anda nampak didalam cermin sisi dan berhenti sebaik badan kereta sudah
sama lurus dengan tiang no.7.

4. Pusing stereng sebanyak 2 kali ke kanan.Undur kereta dan lihat kedudukan tayar belakang sebelah kanan berada di atas garisan kuning.Berhenti.

5. Pusing ke kanan habis dan undur.Lihat tayar hadapan sebelah kanan dan berhenti sebaik tayar itu sudah berada di atas garisan kuning.Jangan langgar tiang hadapan.

6. Pusing stereng ke kiri habis.Masukkan gear satu.Gerakkan kereta perlahan dan berhati-hati supaya tidak terlanggar tiang hadapan.Luruskan tayar dengan memusing stereng 2 kali ke kanan.Sebaik badan kereta dan cermin sisi berada di dalam petak.Bebaskan gear dan tarik brek tangan.
Angkat tangan sebagai tanda anda telah berjaya meletak kereta dengan betul.Tunggu isyarat dan arahan pegawai penguji untuk anda keluarkan kereta dari petak.

7. Masukkan gear undur. Pusing stereng 2 kali ke kiri.Gerakkan kereta berhati-hati.Lihat tayar hadapan sebelah kanan dan berhenti sebaik tayar berada diatas garisan kuning.

8. Pusing stereng ke kanan habis dan masukkan gear satu.Terus keluar berhati-hati jika anda mahir.Sekiranya anda tidak berapa mahir.Berhenti dahulu sebaik tiang no.satu berada di tengah-tengah pintu penumpang kiri anda.

9. Pusing stereng 3 1/2 kali ke kiri dan terus keluar.


Untuk info anda,masa yang diberi dari mula anda hendak bergerak masuk dan sehingga anda keluar dari petak ialah tidak boleh melebihi dari 5 minit.
Kebiasaannya ketika hari ujian,kebanyakan pelajar hanya mangambil masa kurang dari 2 minit.

Syarat utama untuk mengelakkan anda gagal ialah:
====================================
1. Jangan sentuh atau langgar mana-mana tiang walaupun tiang tidak jatuh atau tiang bergoyang.

2. Badan kereta mesti berada di dalam petak dan tidak boleh terjulur keluar melebihi garisan.

3. Tidak melebihi masa 5 minit.

4. Tidak berlaku sebarang kemalangan.

Selamat berlatih dan buat hanya yang terbaik ketika ujian memandu.

Tuesday, July 08, 2008

PEMERIKSAAN SEBELUM BERGERAK KE JALANRAYA UNTUK UJIAN BAHAGIAN 3 - MOTOSIKAL

Sebelum anda hendak mula bergerak untuk ujian bahagian 3 ( ujian jalanraya ) sila periksa perkara-perkara berikut.

Bila arahan telah diberikan untuk bermula:

1. Periksa topi keledar dan jaket anda.
- Sila pakai dengan kemas dan betul.Jangan pakai topi dan jaket terbalik!

2. Sebelum hendak hidupkan enjin,periksa gear hendaklah dalam keadaan bebas.
- Jangan terus hidupkan enjin tanpa periksa gear.Bahaya! Nanti motor terlompat ke depan.

3. Periksa lampu besar hadapan,lampu brek,lampu isyarat kiri/kanan hadapan dan belakang serta cermin sisi.

4. Isyarat tangan dan menoleh ke belakang untuk keselamatan anda.
Toleh ke kanan dan angkat tangan lurus ke kanan.Toleh ke kiri dan angkat tangan lurus ke kiri.Masukkan gear satu.
Sebelum bergerak,anda wajib menoleh ke belakang sebelah kanan untuk tujuan memastikan keadaan jalan adalah selamat dan tiada kenderaan ketika anda hendak keluar bergerak ke jalanraya.


Pastikan anda melakukan kesemua perkara berikut dan sebaik-baiknya ikut turutan supaya anda tidak lupa salah satu darinya.
Sebelum bergerak anda sudah boleh mendapat 4 markah.Jangan buang markah ini kerana ianya sangat berharga.

Selamat berlatih menghadapi ujian dengan mudah dan sentiasa berhati-hati di jalanraya.

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Saturday, July 05, 2008

Saya gagal ujian memandu di jalanraya lagi!!!!!!! Geramnya...

Siapalah yang tidak berasa sedih dan kecewa jika gagal ujian memandu kereta di jalanraya.Tidak perlu berkali-kali.Kalau baru sekali gagal pun pastinya anda kecewa tidak terkata kan???

Pastinya soalan yang bermain di kepala mengapa mesti aku yang gagal?Mengapa? Inilah gangguan emosi yang selalu berlaku pada setiap kali hari ujian JPJ di seluruh tempat ujian memandu di Malaysia!
Persoalannya kenapa anda mesti jadi terlalu kecewa? Sedangkan anda hanya digagalkan sahaja dan bukannya dinafikan terus peluang untuk menduduki ujian ulangan dan memiliki lesen memandu.Betul tak?

Sabar..Banyak-banyakkan bersabar dan pujuklah hati anda ye..Baiklah saya beri tips untuk memujuk hati sendiri jika gagal ujian JPJ.

1. Bila anda gagal ujian,anda jangan mudah panik dan ambil kertas ujian.Lihat keputusan yang ditandakan dan komen yang ditulis oleh pegawai penguji.
Jika anda benar-benar pasti dan yakin yang anda tidak melakukan kesalahan besar yang menyebabkan anda gagal,bawa keputusan tersebut kepada penyelia JPJ yang bertugas.
Sila dapatkan komen dan adukan ketidakpuasan hati anda ketika itu.
Dengarlah dengan teliti dan tanyalah dengan nada bersopan walaupun emosi anda sedang tidak stabil.
Walaubagaimanapun kebiasaannya tiada rayuan akan diterima pada hari ujian tetapi anda boleh bertanya untuk mendapatkan pengesahan.Adakah keajaiban akan berlaku?Semua orang berharap begitu!

2. Anda nasihatkan diri sendiri dan pujuk hati supaya belajar menerima keputusan yang sudah ditandakan.Sekali anda gagal tidak bermakna anda sudah tiada harapan.Apa yang selalu berlaku ialah ramai orang sukar untuk menerima yang gagal dan anda beranggapan bila ujian memandu anda gagal bermakna orang lain akan menilai anda sebagai tidak boleh dan belum layak untuk memandu! Teruk betul kan anggapan yang telah anda berikan pada diri sendiri!
Akan muncullah bermacam-macam alasan yang kurang munasabah seperti tiada cuti,tidak cukup duit,tiada masa dan malu pada orang lain apabila dipujuk supaya membuat ujian ulangan.
Sedangkan itu hanyalah untuk melepaskan geram di dada.Betul tak?? Jangan tipu..

3. Kebiasaannya saya akan memujuk dengan memberi minuman dan mengajak pulang dulu ke rumah dan berehat.Mandi atau tidur sekejap.Bercerita sehingga keluar semua perasaan yang berbuku di dada.Saya akan mendengar,mendengar,mendengar dan mendengar serta mencelah sehingga anda kembali lega.
Dan biasanya sehari selepas itu ramai yang membuat keputusan akan mengulang semula tanpa paksaan!

Jadi,adalah dinasihatkan anda jangan mudah putus asa dan mengalah jika anda gagal.Anda boleh luahkan ketidakpuasan hati dengan cara berhemah dan bercerita kepada yang boleh mendengar.
Kemudian cuba lagi,lagi dan lagi..

Selamat mencuba dan berjaya kepada anda yang cekal dan berani.

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Thursday, July 03, 2008

Apa nak buat bila menghampiri simpang tiga tanpa lampu isyarat

Bila kita memandu dan menghampiri simpang tiga yang tiada lampu isyarat,pastikan tahu ke arah mana kita hendak pergi.

Selepas itu perlahankan kenderaan,nyalakan lampu isyarat samada kanan atau kiri terlebih dahulu.
Selepas itu pastikan kita berada dilorong yang betul sekiranya ada 2 lorong.
Selepas itu berhenti sebelum garisan berhenti.Lihatlah kanan,kiri dan kanan samada ada kenderaan atau tidak dari arah kanan dan arah kiri.
Jika tiada kita berhati-hati dan teruskan perjalanan.

Peringatan khas:
Kepada pemandu yang sedang belajar memandu dan sedang diuji pastikan berhenti dahulu sebelum garisan jika papantanda berhenti dan garisan berterusan dihadapan.
Bebaskan gear dan tarik brek tangan.Ini adalah wajib.


Biasakan diri berhati-hati,nyalakan lampu isyarat lebih awal,berada di lorong yang betul dan berhenti jika perlu serta toleh kanan,kiri dan kanan.Jadikan ia sebagai tabiat harian kita ketika memandu lebih-lebih lagi jika kita membawa keluarga ketika memandu.
Didikan bermula dari ketua keluarga dan menjadi ikutan anak-anak secara automatik tanpa kita sedari.
Kemalangan maut tidak mengenal sesiapa dan ia terjadi dalam sekelip mata tanpa kita duga.

Selamat berubah kepada sikap yang lebih baik dan positif dalam pemanduan!

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle

Monday, June 30, 2008

TIPS MENJADI SEORANG PEMEGANG LESEN MEMANDU YANG LEBIH BERILMU DAN BERTANGGUNGJAWAP.

Bermula hari ini saya akan memberi tips yang sewajarnya menjadi tabiat terbaik untuk anda supaya berubah menjadi seorang pemandu yang bertanggungjawap kepada diri sendiri dan kepada pengguna jalanraya yang lain.

Tips Pertama:
===========

1. Sentiasa periksa lampu besar,lampu brek dan lampu isyarat anda berfungsi.

Cuba anda hidupkan suis dan tengok lampu menyala atau tidak.Sekiranya tidak menyala,sila
periksa mentol.Mungkin sudah rosak dan perlu diganti baru.Beli baru dan harga mentol tidaklah mahal sangat jika nak dibandingkan dengan nilai nyawa kita.

Sangat berbahaya jika memandu diwaktu malam tanpa lampu.Begitu juga lampu isyarat pastikan menyala supaya orang lain tahu jika kita ingin menukar arah laluan kenderaan kita.
Lampu brek mesti menyala supaya orang yang mengekori kenderaan kita boleh berhati-hati lebih awal.

Mudahkan tips ini.Lakukan dan jadikan tabiat harian anda yang pertama.Biar ianya menjadi ikutan dan juga dipelajari oleh ahli keluarga kita.
Untuk mendidik dan berubah menjadi baik,ajar dan didiklah diri kita sendiri dan ahli keluarga kita terlebih dahulu.

Selamat belajar memeriksa semua lampu kenderaan anda!

Wednesday, June 25, 2008

BAGAIMANA HENDAK MEMANDU KERETA YANG BERGEAR MANUAL

Semua pelajar memandu kereta di Malaysia dilatih dan diuji dengan menggunakan kereta yang bergear manual.Hanya pelajar yang mendapat surat kebenaran dari pihak JPJ sahaja yang akan dilatih dan diuji dengan kereta bergear auto.

Selepas memiliki lesen memandu,ramai yang membeli dan memandu kereta auto kerana ianya lebih mudah untuk dipandu lebih-lebih lagi di kawasan Lembah Kelang atau di bandar-bandar besar yang sesak.

Persoalannya boleh kah anda kembali mahir memandu kereta manual selepas bertahun-tahun memandu kereta auto? Terdapat pemandu yang mahir memandu kedua-dua jenis kereta ini dan terdapat juga yang kurang mahir dan hampir terlupa macamana hendak memandu kereta manual.

TIPS UNTUK MEMANDU KERETA MANUAL
-----------------------------------------------

Usah risau! Mudah sahaja.Cuba kembalikan ingatan ketika anda mula-mula belajar kereta dahulu. Bagaimana hendak menggerakkan kereta anda.Lihatlah ada 3 pedal di lantai kereta anda dan kaki anda hanya ada 2 sahaja. Kaki kiri dan kaki kanan.







Formula mudah.

--> Kaki kiri - Untuk kawal pedal clutch yang berada paling kiri.
- Kegunaannya untuk menukar gear.
- Caranya tekan pedal clutch sehingga jejak ke lantai dan masuklah gear yang
sesuai.

--> Kaki kanan - Untuk kawal pedal brek yang berada di tengah atau
Untuk kawal pedal minyak yang berada paling kanan.


--> Cara hendak menggerakkan kereta.
- Tekan clutch hingga jejak ke lantai dan masuk gear satu dengan cermat dan lembut.
Kaki di pedal clucth diangkat perlahan lebih kurang 60% sehingga terasa badan kereta
bergegar hendak bergerak,tambah sedikit minyak dan kawallah kelajuan dan stereng
anda.Bila sudah stabil dan meter mencecah ke 20km - 25km,tukarlah kepada gear 2
dan meter mencecah ke 30km - 35km,tukar ke gear 3,meter mencecah ke 4okm
tukarlah ke gear 4 dan seterusnya tukarlah ke gear 5 mengikut kelancaran jalanraya.

--> Cara hendak mengelakkan dari engin mati setelah gear dimasukkan.
- Jangan angkat pedal clutch secara mengejut dan pastikan kelajuan kereta anda telah
stabil barulah penukaran gear dilakukan atau pedal clutch dilepaskan dengan perlahan.

- Jika hendak berhenti atau mengekori kereta yang terlalu perlahan sehingga meter turun
dibawah 30km,tekan pedal clucth dulu baru tekan pedal brek.
Untuk mengelakkan anda kelamkabut kerana anda kurang mahir.

- Bila kereta berhenti pastikan tekan pedal clutch sehingga jejak ke lantai dan pedal brek.
Sebelum mengangkat kedua-dua kaki,anda wajib bebaskan gear dulu dan tarik brek tangan
atau tarik brek tangan dan bebaskan gear.



Nota penting:
Sekiranya anda sudah biasa memandu kereta auto dan baru hendak menyesuaikan diri dengan kereta manual,janganlah memandu terlalu laju dan sentiasa berhati-hati ketika mengawal pergerakan kaki dan tangan. Sesuaikan diri anda dengan kereta dan dapatkan keselesaan dengan memandu sambil mengenalpasti kedudukan gear di tangan dan pedal di kaki anda.



Selamat memandu di jalanraya!

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle